Monday, June 14, 2010

ALAM ITU SATU SEKOLAH


Lihat alam ini. Seluruh dan sepenuhnya dipermudahkan untuk dikuasai manusia. Haiwan dan tumbuhan seolah-olah diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Tumbuhan mengambil yang buruk (karbon dioksida) daripada manusia dan mengeluarkan oksigen yang bersih buat kita bernafas.

Kulit, daun, akar, pucuk dan segala-galanya menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, pakaian dan perlindungan untuk manusia. Begitu juga haiwan, daging, bulu dan kulitnya semuanya dimanfaatkan untuk manusia.

Ketika segala-galanya diciptakan untuk kita, maka wajar pula kita bertanya kita dijadikan untuk siapa? Ya, ada maksud besar misi kedatangan manusia ke dunia. Justeru, misi yang besar itulah segala-galanya dipermudahkan buat manusia.

Persis bekalan dan alat kelengkapan pada seorang tentera yang dihantar untuk satu operasi ketenteraan, maka begitulah manusia yang telah diberi berbagai-bagai-bagai kemudahan dan bekalan.

Untuk menjadi hamba Allah dan khalifah yang memakmurkan, mengurus dan mentadbir muka bumi ini – itulah dwifungsi utama manusia di dunia ini. Seluruh kelengkapan yang diberikan kepadanya harus menjurus dan fokus ke arah pelaksanaan misi itu.

Jangan disalah gunakan, kerana segala-galanya akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan. Akan datang detiknya, manusia akan dipanggil bersemuka dengan Allah untuk menjawab setiap titis nikmat yang telah diamanahkan-Nya itu. Alam ini bukan hanya membekalkan makanan, ubat-ubatan, perlindungan dan pakaian, tetapi alam ini juga membekalkan suatu yang sangat bermanfaat dalam menjayakan misi kedatangan manusia. Alam sebenarnya membekalkan ilmu untuk manusia yang menghuninya. Alam adalah sekolah yang mana manusia harus belajar pada setiap masa, keadaan dan suasana.

Alam adalah layar yang memancarkan kebesaran Allah untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda (‘sign’) yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada Allah. Dan dekat kepada Allah itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.

Dua misi besar itu sangat berat dan sukar. Ia adalah amanah yang pernah ditawarkan pada langit, gunung-ganang dan bumi tetapi mereka menolaknya. Firman Allah:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakan; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.” Al Ahzab 33:72

Gunung, langit dan bumi tidak sanggup menanggung misi besar itu, mereka hanya sanggup menjadi ‘pembantu’ manusia untuk melaksanakannya. Justeru, mereka lebih rela dikuasai daripada mengusai manusia. Mereka hanya ingin menjadi sekolah, manakala manusia menjadi pelajar-pelajarnya. Allah yang menjadi ‘Guru’ dalam sekolah besar (jagat raya) ini sentiasa mendidik manusia agar layak menjadi graduan yang layak mendapat ijazah keredhaan-Nya dan syurga. Sedarkah kita?

Justeru, marilah sama-sama kita mengingatkan: Alam itu sekolah insan. Jadilah pelajar yang baik. Belajarlah dari alam!

Saturday, June 12, 2010

Method Usrah

Assalamulaikum,lama tak update blog ni,dalam cari bahan untuk asgment terjumpa satu atikel baik tuk bahan rujukan untuk usrah.Selamat membaca dan menhayati sedikit dari pengisian ini.

Dipetik daripada buku : BEBERAPA PANDUAN ASAS USRAH DAN HARAKAH

Oleh : YA'QUB MUHAMMAD HUSSIN

Selain dari naqib/naqibah sebagai satu tunggak yang penting dalam menjayakan usrah, kandungan usrah atau Manhaj Usrah juga memainkan peranan yang besar. Ia bukan sahaja menyumbang kepada proses menambahkan 'ilmu pengetahuan tetapi membina fikrah da'wah, harakah dan organisasi.

Oleh itu kandungan usrah, selain dari menyediakan skema 'ilmu, ia juga mestilah berperanan membentuk watak dan pemikiran Muslim, Mu'min, Muttaqin dan Multazim.

Agar skema yang dimaksudkan menepati kehendak-kehendak dan cita-cita gerakan Islam, maka perkara-perkara berikut ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Pertama:
Pada dasarnya mestilah ditegaskan bahawa Islam dan ajarannya adalah bersumber dari Kitab Suci al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w, sebagaimana yang difahami dan diambil dari para 'ulama' yang mu'tabar, yang thiqah, 'adil dan dipercayai di sepanjang sejarah ummah. Dalam usaha memahami sudut-sudut penghayatannya yang menyeluruh,maka panduan daripada Sirah Nabawiyyah dan para sahabat serta perjalanan Salafussoleh mestilah dijadikan rujukan.

Dalam segala keadaan, kandungan yang dibawa oleh para naqib/naqibah mestilah menjurus kepada penghayatan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang meliputi seluruh bidang kehidupan.

Kedua:
Kandungan usrah juga, antara lain perlu memberi tasawwur atau gambaran yang benar dan menyeluruh bahawa Islam adalah satu sistem hidup (Nizamul Hayat) atau ad-Deen yang sempurna. Perlu ditegaskan sesungguhnya, bahawa Islam adalah petunjuk (Huda) yang paling benar untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia.

Firman ALLAH TA'ALA mafhumnya:
"Katakanlah sesungguhnya petunjuk ALLAH itu, sebenar-benar petunjuk (untuk manusia)."
(Surah al-Baqarah : 120)

Ketiga:
Bahan-bahan atau kandungan yang ingin disampaikan di dalam usrah, hendaklah mengambil kira marhalah yang sepatutnya dilalui oleh ahli-ahli usrah. Adalah wajar semua anggota usrah kita melalui marhalah ta'arif, diikuti marhalah takwin dan kemudian marhalah tanfiz.

Hal ini perlu ditegaskan sebagai satu kemestian dari sudut kandungan.

Namun dari sudut perlaksanaan, seseorang itu seharusnya melalui sesuatu peringkat demi satu peringkat sebagai satu proses yang berurutan. Tetapi adakalanya seseorang itu mungkin melalui proses di atas secara sekali gus atau dua peringkat serentak sesuai dengan keadaan-keadaan dan tuntutan persekitaran. Jika hal ini berlaku bukanlah bererti ia sesuatu yang pelik.

Keempat:
Manhaj Usrah juga mestilah mengandungi asas-asas dan Tasawwur 'Aqidah yang kemas dan menyeluruh, serta diberi penekanan dalam setiap usrah, supaya asas ini menjadi benteng utama kepada pemikiran dan jiwa anggota usrah. Kekuatan 'Aqidah merupakan kekuatan yang paling asas dan paling utama yang perlu dibina oleh Harakah Islamiyyah.

Perlu ditegaskan bahawa, persoalan'aqidah yang dimaksudkan mestilah merupakan prinsip-prinsip 'aqidah yang difahami dan disepakati oleh kalangan Imam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang berpandukan kitab-kitab yang mu'tabar.

Kelima:
Seterusnya kandungan usrah mestilah memberi penekanan kepada bahan-bahan yang dapat memandu dan menyumbang ke arah pembentukan peribadi atau syakhsiyyah Muslim yang baik, lebih-lebih lagi syakhsiyyah penda'wah atau petugas Harakah Islamiyyah.

Di antara lain sangatlah perlu ditekankan betapa pentingnya sifat ikhlas, ber'ilmu, cerdik, berani, berkorban, sabar, istiqamah, lemah-lembut, hikmah dan sifat-sifat mahmudah yang lain.

Keenam:
Seterusnya kandungan usrah juga mestilah memberi penekanan kepada anggota bahawa, memelihara ajaran Islam dari semua sudut adalah satu kewajipan fardi mahupun jama'i. Demikian juga tanggungjawab da'wah merupakan tanggungjawab yang memerlukan persiapan dan kekuatan.

Perlu dipastikan bahawa manhaj usrah menggariskan panduan dan tanggungjawab tertentu anggota usrah di medan da'wah sesuai dengan kemampuannya dan keadaan mereka.

Ketujuh:
Selain daripada beberapa unsur penting di atas, manhaj usrah juga mestilah memberi penekanan kepada keelokan 'ibadah-'ibadah khusus dan 'amalan-'amalan yang membina kerohanian anggota-anggota usrah seperti memperbanyakkan 'amalan-'amalan sunat, wirid-wirid ma'thurat, do'a, zikir, membaca al-Quran, menziarahi perkampungan akhirat (kubur) dan seumpamanya.

Mungkin juga sebahagian dari 'amalan di atas boleh diadakan sebagai sebahagian dari kegiatan di luar usrah.

Kelapan:
Seterusnya hendaklah dipastikan kandungan usrah di semua peringkat, mengandungi unsur-unsur pembentukan fikrah da'wah harakah, dan siasah secara seimbang, supaya watak dan pemikiran anggota usrah terarah kepada menjadi petugas-petugas dan pembela Islam yang berketrampilan, siap sedia dengan 'ilmu dan semangat juang yang tinggi.

Di antara lain dalam hal ini, perlu adanya penegasan Awlawiyyat dalam 'amal 'Islami. Apa yang dimaksudkan dengan Awlawiyyat ialah perlunya para petugas memahami langkah-langkah atau kerja mana yang patut didahulukan dan yang mana patut dikemudiankan. Hal ini sangatlah perlu supaya anggota harakah tidak melakukan sesuatu mengikut selera dan sesuka hati mereka. Sebaliknya berdasarkan panduan 'ilmu dan fikrah yang diberi oleh para naqib/naqibah di dalam usrah-usrah mereka.

Kesembilan:
Seterusnya kandungan usrah juga p[erlu menekankan panduan-panduan latihan kerja secara jama'i, seperti tanggungjawab memelihara amanah, berkorban, mematuhi arahan-arahan dan memberi wala' dan keta'atan kepada jama'ah pimpinan.

Unsur ini adalah satu unsur yang perlu diberi penekanan sepanjang masa supaya menjadi kukuh dan sebati di dalam jiwa petugas-petugas jama'ah (gerakan Islam).

Kesepuluh:
Manhaj usrah juga mestilah, menyediakan bahan-bahan serta ruang, yang dapat merangsang ahli-ahli supaya berinteraksi sesama sendiri bagi menguatkan ukhwah dan sanggup bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada di kalangan anggota dengan cara-cara yang baik, hikmah dan bersesuaian.

Seandainya, sesuatu manhaj mengandungi unsur-unsur di atas, atau mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan dengannya, maka ia telah menepati sebahagian dari kehendak dan tujuan tarbiyyah.

Namun demikian, para naqib/naqibah tetap memainkan peranan utama dalam penyampaian dan pengolahan bahan-bahan yang dimaksudkan.